Petikan Dari Abg Joe
Posted by nizam_5282 | Posted in Kenarianz Club | Posted on 9/08/2008 11:42:00 PG
0
Alhamdulillah majlis berbuka bersama anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Hawa Kinta pada sabtu lepas (6/9/08) berjaya dilaksanakan dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan. Dalam kita bergembira dengan kenari kesayangan kita tak lupa kita pada adik-adik kita yang tidak mempunyai sesiapa, hidup jauh dari keluarga tanpa kasih sayang ibu dan ayah. Terpancar keceriaan dan kegirangan di wajah anak-anak yatim pada hari itu bila di bawa berkonvoi dan menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama warga kenarianz. Masing-masing berebut memilih kenari mana yang hendak dinaiki. Masa tu terasa sebak dan pilu membayangkan betapa kalau kita yang berada di tempat mereka...
Perjalanan berkonvoi ke Restoran Laksaman Cheng Ho diiringi hujan yang turun renyai-renyai namun terhibur dengan celoteh adik-adik bertanyakan berbagai soalan. Tersentuh perasaan bila seorang anak yatim bertanyakan 'abang ada emak dan ayah?'. Camner nak jawab ni... Cuma mampu mengangguk perlahan...
Sebaik sampai azan maghrib berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka. Dengan penuh tertib anak-anak yatim beratur menanti giliran di meja buffet. Berbagai juadah dan hidangan membuka selera apalagi kali ini dapat berbuka beramai-ramai yang mana peluang seperti ini memang sukar untuk diperolehi di lain-lain bulan. Suasana begitu harmoni sekali berbuka sambil saling berbual, bercerita, mengeratkan tali silaturrahim diselangi tawa riang anak-anak warga kenarianz.
Selesai manjamah juadah berbuka, solat maghrib didirikan di surau yang disediakan oleh pihak pengurusan. Waktu yang terluang seterusnya diambil oleh saudara Club Rep kita (Mozweed) untuk memyampaikan sepatah dua kata dan menyampaikan sumbangan dari warga kenarianz kepada wakil dari Pertubuhan Anak-anak Yatim Hawa Kinta iaitu En Jamil. Sumbangan yang tak seberapa diharap dapat membantu usaha murni pihak pengurusan mengasuh adik-adik kita yang amat memerlukan perhatian.
Sekitar jam 9.30 majlis bersurai dengan kembali berkonvoi menghantar pulang anak-anak yatim ke asrama. Namun peristiwa dan kenangan bersama mereka tinggal terpahat di ingatan. Terima kasih kepada semua warga kenarianz Ipoh terutamanya Club Rep yang kita kasihi Sdr Mozweed atas aktiviti amal yang begitu bermakna buat warga kenarianz. Terima kasih atas sumbangan yang kita kumpul untuk anak-anak yatim bukan saja dari warga kenarianz Ipoh malah dari warga kenarianz keseluruhannya dan pihak komiti. Syabas pada sdr zxkn, sdr nizam yang sanggup untuk datang dari jauh dan hadir untuk memberi sokongan yang tak berbelah bagi... Wa respect u all. Juga sdr gbumlover dan miss wahida yang datang dari Tanjung Malim, sdr kenaritam dari Teluk Intan. Tak lupa ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada wakil wartawan dari akhbar KOSMO dan Ipoh Echo yang telah sudi untuk sama-sama berkongsi cerita pada malam itu. Kehadiran semua dengan semangat yang membara cukup untuk memperlihatkan betapa keluarga kenarianz yang besar ini bukanlah kelab permotoran semata-mata tetapi lebih kepada kelab kekeluargaan yang sukar untuk dicari ganti.
Ramadhan yang penuh keberkatan. Hadirmu dinanti... Pergimu ditangisi... Wassalam.
Comments (0)
Catat Ulasan