United Hilang Penaja?

Posted by nizam_5282 | Posted in | Posted on 1/22/2009 11:17:00 PG

0

LONDON - Syarikat gergasi insurans Amerika Syarikat, AIG menjelaskan bahawa mereka tidak akan memperbaharui perjanjian penajaan jersi dengan kelab terkemuka dunia, Manchester United.

Menurut kenyataan AIG semalam, mereka kini masih mengadakan perbincangan dengan kelab England itu berhubung perjanjian semasa selama empat tahun bernilai AS$100 juta (RM361.6 juta) yang akan berakhir Mei tahun depan.

AIG kini mula menjual asetnya bagi membayar balik sebahagian pinjaman kepada kerajaan Amerika Syarikat yang berjumlah kira-kira AS$152 juta (RM549.7 juta).

"Berikutan pinjaman daripada kerajaan itu, AIG menilai semula semua penajaan bagi mengenal pasti mana yang penting untuk memaksimumkan nilai niaga AIG," kata kenyataan itu.

Kenyataan terbaru AIG itu timbul sehari selepas juara bertahan Liga Perdana England itu cuba mendekati syarikat dari India, Sahara bagi menggantikan AIG.

"Kami boleh mengesahkan yang kami telah menerima kertas cadangan untuk menaja pasukan tersebut. itu saja yang boleh didedahkan sekarang," kata jurucakap Sahara Group, Abhijit Sarkar kelmarin. 

Sementara itu, jurucakap United, Philip Townsend enggan mengulas lanjut sama ada AIG akan memberhentikan penajaan mereka penghujung musim ini atau sebaliknya.

"Proses untuk musim 2010 sudah bermula. Sahara adalah satu daripada syarikat yang berminat.

"Kita kena mulakan proses itu sekarang untuk cari penaja baru bagi memastikan jersi baru sedia dijual kepada peminat kami di seluruh dunia," kata Townsend. 

- Reuters

Comments (0)