:: [Transformers] Rumusan Wartawan ::

Posted by nizam_5282 | Posted in | Posted on 6/30/2009 12:03:00 PG

0

Image Hosted by ImageShack.us

Seawal filem sekuel ini bermula, sehinggalah ke babak akhirnya, filem ini sememangnya ditujukan khas buat pencinta kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan yang sewaktu dengannya. Aksi lagak ngeri yang cukup realistik cuma bila sudah terlalu berat dengan kesan CGI potensi untuk filem ini nampak tidak masuk akal dan mengelirukan juga amat ketara.

Aksi bergasak (Autobot dan Decepticons) yang digambarkan dalam babak pergelutan dengan kesan khas yang terperinci, kadangkala mampu buat penonton tersilap antara siapa yang ditembak dan siapa yang menembak. Kelebihan Michael Bay harus diakui dalam hal memberikan sogokan kesan khas yang melampau tetapi ada buruk dan baiknya.

Sebenarnya, agak kecewa sedikit kerana karakter pasukan Autobots yang diketuai Optimus Prime dan musuh sepanjang zaman Decepticon yang diketuai Megatron seolah-olah tidak diperkembangkan sepenuhnya. Seolah-olah Michael lebih mementingkan babak kesan khas serta letusan dan dentuman, ledakan bom dan tembakan senjata berat di sana sini berbanding robot sebagai karakter utama. Ia menjadi terlalu artificial dan mengarut!

Lebih mengejutkan, Revenge of the Fallen sarat dengan aksi ganas yang kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak terutama pada babak pertembungan antara Autobots dan Decepticon. Megatron jadi kurang penting dek kemunculan The Fallen yang menjadi ibu segala kejahatan. Belas ihsan memang tiada. Mungkin kerana babak keganasan itu membabitkan entiti yang terbentuk dari logam, maka rasa gerun tidak terlalu menguasai kerana tidak membabitkan pertumpahan darah.

Peranan Megan Fox sebagai Makaela ternyata lebih kepada memberi daya tarikan seksual kepada jalan cerita yang kurang kemas. Setiap kali dia bersama dengan Shia, babak membeku, seolah-olah Shia yang membawa karakter Samuel Witwicky sendiri tidak percaya, ada wanita secantik dan seksi seperti Makaela yang menggilainya.

Sebaliknya, tiap kali Shia berdepan dengan robot yang tidak berjasad, dia berjaya menyempurnakan rasa empati terhadap entiti itu.

Dalam gah dan hebatnya Bay mengolah kesan khas, jangan terkejut kalau masih ada babak siaran ulangan saling tak tumpah seperti babak Pearl Harbor arahan Michael sebelum ini.

Apapun, ibu bapa dinasihat berjaga-jaga dengan skripnya yang berbaur seksual, bahasa kesat, unsur perkauman serta juga beberapa babak membabitkan penggunaan dadah yang kurang sesuai untuk tontonan khalayak di bawah umur.

Transformers: Revenge of the Fallen mengisahkan kehidupan baru Samuel yang memilih untuk meneruskan pengajian di universiti manakala teman wanitanya, Makaela meneruskan minatnya dalam bidang automotif. Pada masa sama, serpihan Decepticon yang diketuai Starscream masih berusaha untuk mengesan tempat persemadian Megatron dan mengembalikan semula era The Fallen, bekas pemimpin agung Decepticons.

Untuk itu, Decepticons perlu mengesan kod rahsia bagi menjejaki kunci kepada sumber kuasa yang bakal menghancurkan bumi iaitu ‘Matrix’ yang tertanam sejak berkurun lama. Tanpa disedari, kod rahsia berkenaan sebenarnya tertanam dalam minda Sam. Ini menyebabkan dia dan Makaela diburu Decepticon.

Comments (0)